Friday 15 July 2011

Hanya Surau Al-Falah

Pengarah IPG KPP, Tn. Hj. Khalid B. Ahmad  dalam kenyataan terbarunya mengarahkan semua program keislaman yang ingin dilakukan oleh pelajar supaya berpusat di Surau Al-Falah. Penegasan ini dibuat sebagai penyelesaian kepada krisis surau yang berpanjangan di institut ini sejak sekian lama. Kewujudan banyak surau sebelum ini terutama di kolej kediaman lelaki menimbulkan beberapa konflik dan masalah terutamanya perpecahan ahli jemaah. Tn. Hj. Khalid juga berharap dengan penutupan surau di kolej kediaman ini, maka Surau Al-Falah akan dibanjiri oleh ribuan ahli jemaah setiap kali waktu solat.

















Tn. Hj. Khalid B. Ahmad


Pastinya keputusan ini adalah yang terbaik setelah ia dibiarkan berpanjangan dan menemui jalan buntu sebelum ini. Namun begitu, ia tidak akan jadi bermanfaat sekiranya para pelajar tidak pula menggunakan surau Al-Falah itu. Pengarah membuat keputusan bijak ini supaya semua anak buahnya bertumpu hanya di Al-Falah. Mereka akan menemui lebih banyak hikmah dengan pengorbanan berjalan lebih jauh 'sedikit' dari blok kediaman. Saat inilah kita akan teringat pesan Nabi Muhammad bahawa orang yang datang solat berjemaah itu, setiap langkahnya akan diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosa. Para sahabat nabi berebut nak duduk jauh dari masjid sebab nak jalan jauh. Maha'guru' yang berfikir tentu dapat menimbang perkara ini.   Perlu juga dijelaskan, penutupan surau di kolej kediaman tidak bermakna mereka diharamkan langsung untuk solat disitu. Ia tidak akan jadi bilik yang useless. Surau blok itu, yang mulai saat ini lebih sesuai dipanggil dewan solat tetap boleh menerima kunjungan ahlinya. Ia mungkin untuk mereka yang terlewat untuk berjemaah ontime diawal waktu. Terlajak tidur, hujan, lewat habis kuliah, atau sakit dan sebagainya. Yang berkesempatan untuk berjemaah, pergilah ke Surau Al-Falah. Maha'guru' yang berfikir menggunakan akal dengan landasan Islam perlu memahami perkara itu. Konsep dewan solat itu perlu difahami sebagaimana ruang solat kita dirumah. Juga yang ditegaskan oleh Tn. Hj. Khalid dalam ucapannya, program-program Islam juga lebih sesuai dilaksanakan di surau Al-Falah, dengan kelengkapan yang mencukupi serta selesa, ia pasti akan menerima jumlah hadirin yang lebih ramai dan lapisan yang pelbagai. Ternyata tindakan pengarah ini merupakan satu keputusan yang sangat bijak dan perlu dipuji. Hanya yang tinggal, penerimaan dan sambutan dari maha'guru'. Allah telah mempermudahkan, apa lagi yang kita tunggu?

Saturday 2 July 2011

Mahaguru turun ke jalan secara halal


Oleh: Ketua Editor

Program Larian 1 Sukan 1 Malaysia di IPG KPP yang berlangsung pada pagi 2 Julai yang lalu seharusnya berjaya membuka minda para mahaguru yang mahu berfikir.  Di kala negara kecoh membincangkan ancaman segolongan orang yang merancang untuk berhimpun besar-besaran di ibu negara tidak lama lagi, para mahaguru telah menapak selangkah di hadapan. Mereka mendahului orang-orang yang merancang rapi sejak berbulan yang lalu. Atau mungkin setahun yang lalu. Sekalian mahaguru ini telah mencetuskan gelombang lebih awal kepada masyarakat sekitar. Ratusan mahaguru i4p telah berhimpun dan turun ke jalan bagi menyampaikan mesej 1 Malaysia yang dikirim oleh Y.A.B. Dato’ Seri Najib. Dan Alhamdulillah. Mesej itu telah selamat sampai kepada umum. Seluruh masyarakat Gelugor mengetahuinya. Rakyat Pulau Pinang jugasemuanya telah mendapat mesej tersebut hatta di peringkat nasional sekalipun tahu program galakan sukan dan perpaduan yang dilancarkan oleh kerajaan ini. Mengapa ia selamat disampaikan? Mengapa masyarakat Gelugor tidak menganggap mahaguru yang memenuhi jalan itu sebagai pengacau? Mengapa mereka tidak mendakwa mahaguru ini sebagai perusuh, yang mengganggu aktiviti seharian mereka? Bahkan pasti tidak ada yang mengatakan program mahaguru yang masuk ke mukim permai mereka sebagai salah satu dari agenda komunis. Pasti. Mahaguru yang mahu berfikir pasti akan mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini. Terima kasih kepada AJK keselamatan yang memastikan larian ini berjalan lancar. Terima kasih juga kepada Sinar Harian Cawangan Gelugor kerana tidak mencetuskan provokasi atau propaganda negatif terhadap peserta-peserta yang mempunyai niat bersih dan ikhlas menyampaikan mesej daripada Perdana Menteri kita. Larian ini berjalan secara aman apabila kena gayanya.

Barisan mahaguru berbilang bangsa yang membawa mesej 1 Malaysia dari PM kita


Ratusan mahaguru turun ke jalanan menyertai program anjuran KPM ini